PMX umum dana tambahan RM100 juta bantu rakyat Palestin

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
25 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Malaysia meluluskan peruntukan tambahan RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI sebelum ini juga telah meluluskan RM100 juta dua tahun yang lalu.

“Saya sebagai rakyat Malaysia, bersama dengan rakyat akan lakukan apa lagi yang belum kita lakukan. Bawa yang uzur, yang sakit dengan dua pesawat, kita sudah bawa.

KEMUDAHAN DAN BANTUAN

Kebanyakannya sudah dirawat, sudah pulang. Anak-anak yang di sini tertinggal, bagi dia peluang pelajaran. Kemudahan dan bantuan kita terus kirim,” kata Anwar ketika menyampaikan ucapan sempena Malam Himpunan dan Selawat MalaysiaKu Bersama Gaza serta Pelepasan Konvoi Simud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi (24 Ogos).

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani
Araby Abdul Alim Araby.

Perdana Menteri berkata beliau akan minta rakan-rakan dari syarikat-syarikat negara ini untuk turut prihatin.

MEMBERI PELBAGAI BANTUAN

“Mereka telah bantu sebelum ini, ada yang memberi pelbagai bantuan, tetapi dengan Zionis Israel, sampai busuk barang, sampai rosak, apa jenis manusia? Ini bukan manusia, ini haiwan!,” tegas Anwar.

Beliau berkata, mereka (zionis) mahu orang lapar, mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tidak boleh masuk, orang sakit perlu ubat, ubat yang dipagar tidak boleh masuk.

“Manusia yang jenis paling teruk pun tidak seperti itu. Saya umur 78 tahun, saya belum pernah lihat, baca dan dengar di zaman baru ini, mutakhir ini, manusia sekejam itu,” kata beliau lagi.

TAUSIAH PEDULI UMMAH

Majlis malam ini turut diisi dengan solat hajat untuk pembebasan Gaza, tausiah peduli ummah oleh tokoh pendakwah ternama, bacaan Qunut Nazilah serta persembahan selawat oleh kumpulan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.

Antara pengisian majlis ini termasuk pengisytiharan Deklarasi Sumud Nusantara dibacakan oleh Sani Araby yang menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.

Perdana Menteri turut melepaskan Konvoi Sumud Nusantara 2025 untuk Flotilla Gaza yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *