


Oleh: Sholina Osman
Foto FB Kementerian Ekonomi
25 OGOS 2025
Kerajaan MADANI tidak sesekali pilih kasih dalam soal membela nasib hidup rakyat sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli, anak Bumiputera Sabah mahupun Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua rakyat dibantu tanpa mengira kaum,
agama, wilayah mahupun fahaman politik mereka.
Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan setiap rakyat beroleh limpahan manfaat daripada kemajuan yang dicapai negara.
Justeru, itu tambah beliau pendekatan berdasarkan kaum semata-mata akan beralih kepada
pendekatan pemerataan agihan ekonomi yang memberi keutamaan kepada keperluan sebenar rakyat.
DARJAT HIDUP RAKYAT
“Setiap dasar dan ikhtiar yang telah dan sedang kita laksanakan bagi
meningkatkan darjat hidup rakyat melalui agenda pemerataan ini,
sama ada dari aspek bantuan tunai, pendidikan, keusahawanan,
sosial mahupun infrastruktur, adalah untuk maslahat dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK13) di Dewan Negara hari ini (25 Ogos).
Anwar berkata jumlah bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula sebahagian besarnya disalurkan kepada golongan sasar Melayu, iaitu sebanyak RM7.1 bilion.
Selain itu kata beliau Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak
turut menerima manfaat ketara, masing-masing RM1.0 bilion dan
RM0.8 bilion daripada keseluruhan penerima dan Orang Asli menerima
RM130.5 juta.
PENERIMA KEDUA TERBESAR
“Kaum Cina merupakan penerima kedua terbesar bantuan tunai
Kerajaan MADANI, merangkumi 18.96 peratus penerima,” kata beliau.
Jelas beliau bagi sokongan
pembiayaan perniagaan, usahawan Cina turut mendapat manfaat
jaminan bernilai RM13.9 bilion.
Sementara itu, kata beliau melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan, kaum Cina turut menerima manfaat
bernilai RM1.68 bilion bagi pemilikan rumah.
Beliau menjelaskan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), kaum India turut menikmati pelbagai sokongan lain merentas Kementerian.
“Daripada Skim Pembangunan
Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), STR dan SARA oleh Kementerian Kewangan (MOF), Bantuan Awal Persekolahan, hinggalah bantuan kebajikan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) ,” kata beliau lagi. – JM
