Zon Maritim Kuala Perlis patahkan cubaan seludup 450 liter petrol, tekong warga Thailand ditahan

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis
26 OGOS 2025

Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 20 tong minyak petrol yang dianggar berjumlah 450 liter ekoran penahanan seorang tekong warga Thailand, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata suspek berusia 25 tahun ini ditahan pada sebuah bot asing tanpa nombor pendaftaran pada jarak 0.32 batu nautika dari barat Pulau Ketam, Kuala Perlis.

“Bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
telah mengesan bot dinaiki suspek ini selepas menerima maklumat risikan ketika rondaan Operasi Aman (Op Aman) dan Operasi Tiris (Op Tiris),” katanya dalam kenyataan media malam ini (26 Ogos).

HASIL PEMERIKSAAN AWAL

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal, suspek mendakwa hanya membawa tong kosong, namun pemeriksaan lanjut telah menemukan 20 tong berisi petrol dianggarkan 450 liter.

Nak Rong berkata, bot berkenaan dikendalikan seorang tekong dari Thailand dan dipercayai cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran.
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa dokumen sah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

BOT DAN MINYAK
 
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan minyak dianggarkan lebih kurang RM17,000.00.

Suspek bersama hasil tangkapan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
 
Maritim Malaysia menyeru orang ramai menyalurkan maklumat segera berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 / 04-9851162 atau talian kecemasan 999. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *