







Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
26 OGOS 2025
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Istiadat Sambutan Negara Sempena Lawatan Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Negara, hari ini (26 Ogos).
Berangkat sama ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor Tunku ldris Iskandar Sultan lbrahim dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.
Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Datuk Ahmad Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengiring Lawatan Negara Brunei dan Menteri-Menteri Kabinet.
Lawatan Negara Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia merupakan yang ketiga selepas Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Republik Indonesia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
LAGU KEBANGSAAN NEGARA
Istiadat sambutan negara yang diadakan di Anjung Utama Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan negara Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan mengadakan kunjungan mengadap bersama Sultan Ibrahim sebelum berangkat menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan meraikan dan memberi penghormatan kepada Paduka Seri Baginda Sultan Brunei serta delegasi dalam satu majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama. – JM
