Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China bukti keyakinan hubungan dua negara – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
2 SEPT 2025

Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China di Beijing yang disertai 120 syarikat dan konglomerat besar China, mencerminkan sokongan serta keyakinan yang mendalam terhadap hubungan erat kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan keperluan memperkukuh hubungan Malaysia–China dengan memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan untuk membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, nadir bumi, ekonomi biru, pendidikan, penyelidikan dan sebagainya.

“Kekuatan Malaysia adalah politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, daripada Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan, hinggalah kepada agenda peralihan tenaga termasuk ASEAN Power Grid,” kata beliau dalam hantaran di FB.

MEMBERI MAKNA TERSENDIRI

Anwar berkata di bawah inisiatif Belt and Road, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi makna tersendiri kerana ia membawa pembangunan ke wilayah luar bandar dan pedalaman.

“Insya-Allah, kita akan membincangkan kemungkinan melanjutkan ECRL sehingga ke sempadan Thailand,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata China telah membuka banyak peluang di Malaysia, daripada pertanian hingga semikonduktor, pusat data, AI dan telekomunikasi.

SEBAGAI HAB TENAGA

Jelas Anwar Malaysia kini muncul sebagai hab tenaga dan semikonduktor rantau ini, dengan banyak syarikat antarabangsa, termasuk dari China, menjadikan negara kita sebagai pusat operasi dan ibu pejabat serantau

“Saya juga sempat menyentuh mengenai ahli perniagaan Malaysia, Robert Kuok,” kata Anwar.

Perdana Menteri menjelaskan pada saat ramai pelabur asing menarik diri dari China pada 1989, beliau tetap teguh kerana percaya pada masa depan China dan nilai persahabatan sejati.

“Semangat ini wajar menjadi pedoman bahawa keyakinan dan keikhlasan adalah asas dalam membina kepercayaan dan kerjasama,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *