




Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
2 SEPT 2025
Syarikat e-dagang terkemuka di China, JD.com telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia, khususnya dalam bidang logistik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia hasil pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi JD.com yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap Ahli Eksekutif Strategi, Hu Wei.
“Saya menyambut baik hasrat ini, mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, kini berada di ibu negara China sempena lawatan kerja rasmi selama empat hari.
MEMBELI LEBIH BANYAK
Anwar berkata pada masa sama, JD.com juga berhasrat membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China.
JD.com tersenarai dalam NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500, adalah peruncit e-dagang terbesar di China yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 580 juta orang yang membeli-belah di serata China.
Syarikat dipacu teknologi itu mengendalikan infrastruktur penunaian pesanan terbesar di China yang membolehkan 90 peratus pesanan dihantar pada hari sama atau berikutnya.
Perdana Menteri juga bertemu dengan wakil China Semiconductor Industry Association (CSIA), badan induk yang menaungi lebih 1,400 syarikat semikonduktor China.
BARISAN PIMPINAN CSIA
Beliau berkata, pertemuan ini melibatkan barisan pimpinan CSIA yang diketuai oleh Pengerusi Chen Nanxiang yang juga Pengerusi Yangtze Memory Technologies.
CSIA adalah sebuah badan induk yang melibatkan syarikat, pakar dan institusi dalam bidang pembuatan, reka bentuk dan pembangunan berkaitan dengan industri semikonduktor.
“Dalam pertemuan ini, saya tegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global, seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” jelas Perdana Menteri.
Sebagai sebuah ekonomi terbuka, beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus menarik pelaburan berkualiti, meneroka peluang baharu dan membangunkan sektor strategik demi kemakmuran rakyat dan masa depan Malaysia yang lebih gemilang. – JM
