
Wartawan JM
2 SEPT. 2025
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak pengurusan tertinggi platform media sosial TikTok dipanggil ke Bukit Aman pada 4 September ini di atas kelewatan syarikat itu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu penyebaran berita palsu di platform terbabit.
Beliau berkata antara isu tersebut termasuk yang tular apabila ia melibatkan hantaran individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.
“Pihak TikTok sangat lambat memberikan maklumat kepada PDRM sehingga saya terpaksa menelefon CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) TikTok sendiri Shou Zi Chew untuk maklumkan, perkara ini adalah jenayah yang telah dilakukan dan organisasi anda sangat lambat,” kata Fahmi.
TIDAK BOLEH DIBIARKAN
“Sikap itu tidak boleh dibiarkan dan insya-Allah Khamis ini akan ada satu mesyuarat di Bukit Aman disertai Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Al Grand Prix 2025 di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Kuala Lumpur hari ini.
Selain TikTok, Fahmi berkata syarikat induk Facebook (FB) iaitu Meta Platforms Inc (Meta) juga akan dipanggil bagi memberikan penjelasan mengenai penyebaran kandungan tidak bermoral di platform mereka.
ISU DIKENAL PASTI
Katanya, antara isu dikenal pasti termasuklah penyebaran kandungan berkaitan pedofilia yang dikesan dalam Op Pedo melibatkan kumpulan dalam talian “Geng Budak Sekolah” sebagaimana tular menerusi WhatsApp dan FB.
Jelas Fahmi pihaknya melihat platform berkenaan tidak mengambil sikap yang serius, jadi proses dialog itu akan diteruskan.
“Kita akan beri penegasan undang-undang Malaysia yang terpakai kepada mereka dan mereka wajib akur, kami akan panggil setiap platform,” katanya. – JM
