



Oleh: Sholina Osman
3 SEPT. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan dan mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat
Negeri Perak di Ipoh baru-baru ini.
Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa hantaran tersebut mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina.
Seperti yang telah disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada hari Selasa (2 September 2025).
HUKUMAN DENDA MAKSIMUM
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan
sebarang kandungan di media sosial. – JM
