

Oleh: Sholina Osman
5 SEPT. 2025
Sebanyak 78,883 calon lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma/ Setaraf telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) menerusi UPUOnline®️.
Kenyataan media Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan jumlah calon yang berjaya mendapat tempat ialah 71.80 peratus daripada jumlah keseluruhan 109,866 permohonan diterima sistem itu.
Secara keseluruhannya, sebanyak 1,132 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.
BERASASKAN PRINSIP MERITOKRASI
“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang
layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” kata kenyataan itu.
Calon tidak berjaya mendapatkan tawaran tempat pengajian boleh membuat rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula 12 tengah hari ini hingga 5 petang 14 September. – JM
