





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 SEPT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI sentiasa terbuka menerima teguran dan bersedia untuk memperbaiki kelemahan.
Beliau berkata namun teguran mesti berlandaskan akhlak, bukan cercaan atau fitnah.
“Dengan semangat saling menasihati, kita dapat mengangkat martabat umat, keluarga dan masyarakat,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di FB.
Beliau juga tegaskan bahawa Negara MADANI ini bukan semata-mata soal politik atau ekonomi. Ia terangkum nilai iman, ihsan, rahmah dan keadilan agar pembangunan material seiring dengan akhlak, pendidikan dan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.
MANIFESTASI PRINSIP IHSAN
Kata Perdana Menteri peningkatan gaji penjawat awam dan gaji minimum misalnya, adalah antara manifestasi prinsip ihsan dalam dasar negara.
Sebelum itu Anwar menunaikan solat Jumaat bersama ratusan jemaah tabligh di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, pusat dakwah yang telah menyinari ummah sejak lebih tiga dekad lalu.
Selepas solat, beliau diberi ruang untuk menyampaikan tausiah bersempena Program Temu Mesra MADANI anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Saya menghimbau semangat perjuangan yang diwariskan oleh Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah, teladan terbaik buat umat manusia,” kata beliau.
Jelas Perdana Menteri sejarah membuktikan bahawa kekuatan umat lahir daripada perpaduan, ilmu dan kesedaran.
MENANAM ROH JIHAD
“Saya menyingkap bagaimana Salahuddin al-Ayyubi memakmurkan masjid, menanam roh jihad dan roh Islam, serta membangkitkan kesedaran umat sehingga menjadi kekuatan yang mampu menakluki semula Baitulmuqaddis,” tambah beliau.
Kata beliau persiapannya adalah kekuatan masjid, roh perjuangan, perpaduan masyarakat serta peningkatan ilmu. Hari ini, ada yang punya ilmu tetapi tidak ada kesedaran, dan ada pula yang punya kesedaran tanpa keberanian untuk melangkah dalam perjuangan.
وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ
العنكبوت :٦٩
Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang muhsin.
(Surah al-Ankabut: 69)
“Setiap kali menjejakkan kaki ke Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, saya terkenang jasa ulama dan guru yang mendorong perubahan dengan penuh hikmah,” tambah beliau.
Jelas Perdana Menteri semoga roh perjuangan dan semangat dakwah bil hikmah ini terus menyinari langkah kita membina Malaysia MADANI yang berakar pada iman, ilmu dan akhlak Rasulullah SAW. – JM
