Kerjasama PDRM-MCMC berjaya tumpaskan sindiket sebar SMS palsu guna “Fake BTS”

Oleh: Sholina Osman
6 SEPT. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS).

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan ia dikesan hasil satu operasi bersepadu iaitu Op Pancing, baru-baru ini.

Berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu ditahan semasa mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan yang diletak berhampiran sebuah pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif,” kata kenyataan itu lagi.

MENGESAHKAN PERALATAN TERSEBUT

Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut.

Susulan tangkapan itu, pihak MCMC dengan bantuan PDRM telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.

Siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut telah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih.

BARANGAN TELAH DISITA

Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000.00.

Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak satu juta ringgit (RM1,000,000) atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes ini juga disiasat di bawah Peraturan 34(5) (c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *