



Oleh: Sholina Osman
Foto: Google
6 SEPT. 2025
Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung ceramah berunsur hasutan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki berusia 47 tahun ini telah ditahan pada 5 September 2025 pada pukul 10.25 malam.
Beliau berkata permohonan reman ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat hari ini (6 September 2025).
“Penahanan ini setelah pihak polis mengesan satu hantaran di media sosial oleh akaun TikTok Edumw@4mrankiamat yang memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Cikgu Bard sedang menyampaikan ceramah berunsur hasutan,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
PENULARAN VIDEO TERSEBUT
Beliau menjelaskan siasatan berhubung penularan video tersebut
telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejurus laporan polis diterima.
M. Kumar berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 595 (b) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan sehingga boleh menimbulkan kegentaran awam serta menganggu keharmonian masyarakat di Malaysia. – JM
