Fahmi lancar PRIME peringkat Sabah sempena HBK

Oleh: Sholina Osman
7 SEPT. 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini meluncurkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME)
peringkat negeri Sabah sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah.

Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh
MCMC yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.

“PRIME berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan,” kata kenyataan itu.

DUA UNIT PRIME

Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025.

HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai pengisian menarik seperti aktiviti perkhidmatan pintar, Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Kos Sara Hidup (KPDN) serta pameran oleh usahawan NADI.

Turut diadakan, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) Pelajar Cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) serta penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.

KUALITI LIPUTAN KOMUNIKASI

Fahmi juga meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan
Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai.

Menara ini mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan
4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.

Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200
penduduk.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *