



Oleh: Sholina Osman
7 SEPT. 2025
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berpuas hati pengoperasian Menara JENDELA di Kampung Kuala Merotai, Tawau, berjaya dipulihkan.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dimaklumkan oleh wakil rakyat dan penduduk setempat
tentang gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Tawau yang berpunca daripada gangguan bekalan elektrik
“Alhamdulillah, aduan tersebut telah diselesaikan oleh pihak penyedia perkhidmatan dan liputan berjaya dipulihkan. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklumat berkenaan,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Fahmi melihat sendiri pengoperasian Menara JENDELA di kampung berkenaan.
PERKHIDMATAN TIDAK TERJEJAS
Bagaimanapun, kata beliau bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas pada masa hadapan, penyedia perkhidmatan diarahkan untuk menyediakan kuasa sokongan seperti genset serta menambah kapasiti bateri sedia ada hingga mampu membekalkan kuasa selama 8 jam.
“Menara ini yang beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone,” tambah beliau.
Kata beliau hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk.
“Ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat terus menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti,” kata Fahmi. – JM
