






Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
14 SEPT. 2025
Seni dan budaya negara ini menjadi lebih bermakna apabila teras Melayu berkembang harmoni bersama warisan Cina, India, Iban, Kadazan, Bajau dan lain-lain, menjadikan kerencaman ini jaminan keharmonian dan kelangsungan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar terpukau menyaksikan persembahan tarian dan nyanyian yang menjulang kerencaman budaya kita, yang bukan sahaja mempesona rakyat, malah mengundang kekaguman sahabat dunia.
“Penghargaan tertinggi buat semua pihak yang menjayakan festival ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar menghadiri Malam Gala Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa.
TERUS MENYEMARAKKAN KEBERSAMAAN
Beliau berharap semoga ia terus menyemarakkan kebersamaan, memperkukuh persahabatan dan menampilkan Malaysia sebagai tanah air yang makmur, aman serta kaya budaya.
“Malam bertatah pesona budaya ini memperlihatkan denyut hati bangsa, menyatukan kerencaman dalam satu pentas yang memukau,” kata beliau.
Jelas beliau menjelang Hari Malaysia, festival ini mencerminkan kekuatan kita yang tidak sekadar berpaut pada kepesatan pembangunan ekonomi, tetapi juga berpasak kukuh pada kerencaman budaya yang menyatukan rakyat dan menyalakan semangat persaudaraan.
Beliau berkata dalam gagasan MADANI, pembangunan insan harus seiring dengan jiwa budaya.
“Warisan pelbagai suku kaum tidak hanya diraikan, tetapi juga dimuliakan sebagai sumber ilham dan kekuatan bersama,” tambah beliau. – JM
