







Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
16 SEPT. 2025
Kerajaan MADANI memperuntukkan RM2 juta bagi menyelaras gerakan besar menyatukan semua pertubuhan silat di bawah panji semangat Pendekar MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selaras dengan iltizam kerajaan bagi memartabatkan ilmu persilatan di negarA ini.
Beliau berkata dana ini bakal menyemarakkan gelanggang silat di sekolah-sekolah, politeknik, universiti dan institusi pendidikan seluruh negara.
“Matlamatnya bukan sekadar melahirkan pesilat yang tangkas tetapi membentuk generasi muda berdisiplin, berakhlak mulia, berjiwa besar dan berbangga dengan pusaka bangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB.
UNTUK BERHIMPUN BERSAMA
Terdahulu Anwar hadir ke Politeknik Seberang Perai untuk berhimpun bersama lebih 10,000 anak-anak Pendekar MADANI daripada pelbagai persatuan silat untuk mengangkat martabat pusaka agung bangsa Melayu.
Dalam majlis ini juga, beliau menerima penghormatan menerusi pertabalan sebagai Imam Khalifah Agong “Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti” oleh Pakndak Majid.
Pengiktirafan ini adalah amanah yang melambangkan keluhuran warisan silat serta kesinambungan perjuangan bangsa yang tidak pernah putus sejak turun-temurun.
“Bagi saya, Pakndak Majid bukan sekadar guru besar persilatan, tetapi teman setia yang tetap bersama dalam suka dan duka perjalanan hidup saya,” kata beliau.
SEBAGAI LAMBANG KEIKHLASAN
Beliau hargai persahabatan ini sebagai lambang keikhlasan dan bukti bahawa silat adalah ikatan persaudaraan serta perjuangan yang merentas masa.
“Hari ini kita catat sejarah baharu dengan semangat dan kesatuan Pendekar MADANI! Dengan semangat dan kesatuan ini, kita hidupkan roh perjuangan yang diwarisi daripada guru-guru kita, perkasakan jiwa bangsa agar gagah menentang penindasan, dan kita terus mara membina semangat MADANI yang bermaruah di persada dunia,” tegas Anwar.
Beliau berkata sejarah gemilang Kesultanan Melayu Melaka mengajar kita bahawa kekuatan bukan sekadar kuasa, tetapi kerana ilmu, kepintaran, akhlak, teknologi dan disiplin yang kental.
Jelas Anwar itulah semangat yang mesti kita hidupkan hari ini, yakni semangat yang membenci kezaliman, menolak penindasan dan menjulang maruah bangsa,” kata beliau.
TIGA TOKOH BESAR
“Alhamdulillah, saya diizinkan Allah SWT untuk menimba ilmu, termasuk ilmu persilatan daripada tiga tokoh besar iaitu Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, Ustaz Hanafi Ahmad dan Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa,” jelas beliau.
“Dari mereka saya belajar bahawa kehebatan silat tidak hanya pada sepak terajang semata, tetapi pada disiplin, akhlak dan adab menghormati sesama manusia,” tambah beliau.
Beliau menegaskan bahawa semangat Pendekar MADANI bukan untuk kita bermegah atau bersikap angkuh, tetapi melatih akhlak, menanam hormat sesama insan tanpa mengira kaum dan mengasuh jiwa supaya gagah dalam kehidupan.
Jiwa yang bersih dan akhlak yang mulia harus menjadi benteng sebenar kekuatan kita. – JM
