

Oleh: Sholina Osman
18 SEPT. 2025
Periksa MyKad dan pastikan cip MyKad berfungsi dengan elok supaya dapat menikmati subsidi RON95 secara bersasar.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana Perdana Menteri bakal menunaikan janji beliau kepada rakyat Malaysia, Insya-Allah hujung bulan ini harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar.
Saifuddin berkata, walaupun mengambil masa sedikit, tapi alhamdulillah beliau (Perdana Menteri) tetap menunaikan janji sebab beliau seorang yang berpegang pada kata-kata.
“A man of his words” dan Insya-Allah setiap janji yang dibuat Perdana Menteri akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia,” kata Saifuddin dalam hantaran di FB.
SEBAGAI PENGESAHAN IDENTITI
Saifuddin berkata subsidi bersasar ni hanya boleh dinikmati apabila MyKad digunakan sebagai pengesahan identiti sebagai rakyat Malaysia semasa mengisi minyak nanti.
“Kalau cip rosak atau tak boleh dibaca, jangan risau – boleh terus ke mana-mana Pejabat atau Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Insya-Allah, siap hari yang sama. Mudah dan cepat!,” kata beliau.
Beliau mengingatkan rakyat jangan tunggu hingga saat akhir.
Jelas beliau pastikan masing-masing buat semakan awal supaya dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia ini.
“Kerajaan MADANI terus komited untuk bantu rakyat, jaga kebajikan semua golongan dan makmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” tambah beliau. – JM
