Malaysia berbesar hati diangkat jadi tuan rumah AIPA – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 SEPT. 2025

Malaysia berbesar hati tatkala diangkat menjadi tuan rumah untuk persidangan AIPA, iaitu ASEAN Inter-Parliamentary Assembly Ke-46 yang kini berlangsung di World Trade Center, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demokrasi tentunya mencakup persoalan pertanggungjawaban, atau ‘democratic accountability’, iaitu mesti menjamin ruang untuk berbahas atau ‘reason discourse’, mengkritik, dan menegak hukum dan ketertiban di dalam Dewan sebagai usaha dan upaya kita menyemangati prinsip-prinsip negara yang matang dan demokratik.

“Sementalahan, di peringkat ASEAN kita mengangkat serta menjunjung semangat keterangkuman (inclusivity), yakni memastikan suara wanita, anak muda, marhaen serta minoriti didengar,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Beliau berkata itu maknanya roh kesatuan kita yang telah menjadikan rantau ini terus damai, stabil dan berkembang pesat seiring tuntutan zaman (zeitgeist).

Justeru, tambah beliau Malaysia konsisten menolak kebejatan, memperjuang prinsip tadbir urus yang baik, selain memastikan pertumbuhan ekonomi itu dinikmati setiap lapisan masyarakat.

“Mari rapatkan saf ASEAN, teguhkan pusat rantau ini agar ia benar-benar menjelmakan suara nurani dan aspirasi warganya yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya ini,” tegas beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *