






Wartawan JM
19 SEPT. 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran mempertingkatkan jaringan kerjasama dengan institusi di luar negara khususnya Indonesia bagi aspek pembangunan kurikulum khususnya pendidikan, teknologi, keusahawanan dan kepimpinan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP bertitah kerjasama ini akan menjadi lebih mudah memandangkan Malaysia dan Indonesia bukan sahaja berjiran, malah berkongsi akar budaya, bahasa dan nilai serumpun.
Baginda bertitah pendidikan bukan sekadar tentang akademik, tetapi juga membina kefahaman budaya, tambahan pula dunia masa kini yang perlu berdepan cabaran global iaitu perubahan iklim, digitalisasi serta pembangunan lestari.
DENGAN UNIVERSITI LUAR
“Saya melihat UniMAP mempunyai kekuatan tersendiri untuk berganding bahu dengan universiti luar dalam bidang penyelidikan, inovasi hijau dan pendidikan berasaskan teknologi yang memberi impak kepada masyarakat serantau,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berangkat ke lawatan rasmi ke Universitas Negeri Jakarta (UNJ) di Jakarta, Indonesia sempena International Leadership Mobility UniMAP 2025.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
MERUPAKAN INSTITUSI TERSOHOR
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kehadiran ke UNJ yang merupakan institusi tersohor dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pembangunan sumber manusia ini amat bermakna dalam usaha memperkukuh ikatan akademik dan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia.
Baginda bertitah UniMAP sebagai universiti teknikal membawa amanah untuk menjalin kerjasama antarabangsa demi melahirkan generasi pelajar yang mampu bersaing pada peringkat dunia.
“Sesungguhnya, kehadiran saya dan rombongan UniMAP ke kampus ini membawa maksud lebih besar daripada sekadar kunjungan, tetapi sebagai usaha memperkukuh silaturrahim serta kerjasama strategik antara dua institusi pendidikan tinggi dari dua negara serumpun,” titah baginda.
Baginda bertitah Malaysia khususnya Perlis amat menantikan sebarang bentuk kerjasama bagi membuka lebih banyak ruang untuk anak muda berinteraksi, berkongsi ilmu dan menyemai kepemimpinan.
“UniMAP sentiasa komited menjadi jambatan penghubung ilmu, teknologi dan budaya di rantau ini,” titah baginda. – JM
