






Oleh: Sholina Osman
19 SEPT. 2025
International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diharap menjadi titik tolak kepada kerjasama yang merangkumi pelbagai aspek penting yang saling melengkapi demi memperkukuh ekosistem pendidikan dan penyelidikan di rantau ini.
Antaranya termasuk peluasan kerjasama akademik seperti mobiliti pelajar, program pertukaran staf akademik, serta kolaborasi dalam pembangunan kurikulum yang bertujuan untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.
Selain itu, kerjasama penyelidikan turut diberi keutamaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi pintar, tenaga boleh diperbaharui, kesihatan, sains sosial, serta isu-isu global yang memberi impak kepada masyarakat serantau.
Inisiatif ini juga disokong oleh usaha pembangunan kapasiti mahasiswa agar mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai ciri kepimpinan, keusahawanan, dan nilai kemanusiaan yang tinggi, selari dengan keperluan masa hadapan.
PROMOSI MASAKAN PERLIS
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa ‘Kurma Daging Perlis’ yang diadakan di Hotel Holiday Inn Express Jakarta Matraman, Indonesia.
Ia dijayakan oleh pihak hotel itu dengan kerjasama UniMAP, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel bagi sama-sama mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi oleh delegasi International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan disambut oleh Pengurus Besar, Alldilah Arief Permadi dan Pengurus Jualan, Christina Puspa Dewi.
Sajian masakan disediakan oleh Chef Sidqi Rahmat. – JM
