Kampung Seberang Ramai cipta kejayaan membanggakan hasil Program Transformasi Diraja – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
19 SEPT. 2025

Kampung Seberang Ramai di Kuala Perlis telah mencipta satu kejayaan membanggakan melalui inisiatif Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni.

Transformasi menyeluruh yang dilaksanakan telah menjadikan kampung ini sebuah destinasi pelancongan yang ceria, berwarna-warni dan memikat hati.

Kejayaan ini menjadi bukti nyata bahawa impian kemajuan mampu direalisasikan apabila terdapat kerjasama erat antara rakyat dan para pemimpin.

SUMBANGAN DAN SOKONGAN

Sesungguhnya kejayaan ini terhasil berkat sumbangan dan sokongan padu daripada pelbagai agensi, syarikat koporat, serta orang ramai bersama-sama masyarakat setempat yang menjadi tunjang utama melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa ‘Kurma Daging Perlis yang diadakan di Hotel Pullman Jakarta , Indonesia.

Ia dijayakan oleh pihak hotel itu dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel bagi sama-sama mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

INTERNATIONAL LEADERSHIP MOBILITY

Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi oleh delegasi International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan disambut oleh Pengurus Besarnya, Dan Benzaquen.

Sajian masakan istimewa itu disediakan oleh Chef Eksekutif Food & Beverage yang berasal dari Malaysia, Koay Chee Ming.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi Indonesia, Prof. Brian Yuliarto.

SEMAKIN RAMAI PENGUNJUNG

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra berkongsi bahawa kini semakin ramai pengunjung yang terpikat dengan Negeri Perlis.

Ia bukan sahaja berkaitan program-program ilmu, tapi juga pada keindahan semula jadi di negeri ini.

‘Alhamdulillah, atas kurniaan Allah, sesiapa yang masuk ke Negeri Perlis ini dengan niat yang baik, dia akan rasa ketenangan dan suasana permai negeri ini,” titah Baginda.

Maka, titah Baginda lagi adalah dimohon jasa baik supaya setiap yang masuk ke Perlis ini, selalulah berdoa untuk keberkatan, kebaikan dan kemakmuran negeri ini dan seluruh umatnya ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *