KPKT giat laksana sesi libat urus bagi penggubalan akta baharu – Kor Ming

Wartawan JM
18 SEPT. 2025

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi penggubalan akta baharu.

Menterinya Nga Kor Ming berkata ia melibatkan Akta Sewaan Kediaman dan pindaan serta penambahbaikan kepada akta sedia ada iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

“Ia juga akan berkaitan dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) serta Akta Pembaharuan Semula Bandar 2025 untuk mempastikan pembangunan yang mampan, berdaya maju dan inklusif,” katanya dalam kenyataan media di FB KPKT Malaysia.

PERUMAHAN MAMPU MILIK

Terdahulu Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) Bil.1 2025, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, telah membincangkan perkara berkaitan perumahan mampu milik khususnya berhubung aspek ekosistem perumahan dari peringkat perancangan ke penyediaan serta aksesibiliti kewangan, pemilikan, penyewaan dan pengurusan.

MPMMN turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Exco Perumahan Negeri, Menteri-Menteri Kabinet, pemaju perumahan swasta serta wakil agensi penyedia perumahan sektor kerajaan persekutuan, negeri dan badan berkanun.

Kor Ming berkata kerajaan MADANI menerusi KPKT sentiasa komited dalam memastikan keperluan perumahan semua lapisan masyarakat khusunya golongan B40 dan M40 direalisasikan tanpa kompromi.

10,000 UNIT SETAHUN

Sementara itu, bagi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), Nga berkata sasaran unit RMR akan ditingkatkan hingga 10,000 unit setahun dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak swasta, kerajaan dan NGO mengambil kira jumlah permohonan sebanyak 13,502 yang masih menunggu tawaran.

Berkenaan status pelaksanaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13), beliau berkata sehingga 30 Jun 2025, 98.8 peratus atau 493,874 unit rumah mampu milik telah disediakan dengan penyediaan baki 6,126 unit, disasarkan untuk dicapai menjelang penghujung tahun ini.

Bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula, beliau berkata setakat 31 Julai 2025, sebanyak 93,231 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan yang dijamin sebanyak RM22.138 bilion, satu rekod tertinggi dalam sejarah.

PERUMAHAN MAMPU MILIK

“67 peratus penerima adalah dalam kalangan pembeli rumah bernilai RM300,000 ke bawah, selari dengan agenda perumahan mampu milik Kerajaan. Majoriti kelulusan diberikan kepada golongan B40 yang merupakan golongan sasar utama skim ini,” katanya.

Tambah beliau, KPKT turut mencadangkan perluasan inisiatif pembiayaan kepada golongan sasar melalui pembiayaan secara rent-to-own(RTO) melalui SJKP.

Dalam pada itu beliau turut menekankan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan golongan sasar bagi meningkatkan akses pembiayaan, pengetahuan berkaitan pembiayaan serta amalan pengurusan kewangan yang baik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *