





Oleh: Sholina Osman
20 SEPT. 2025
Sesungguhnya negeri Perlis sebagai sebuah negeri dengan lokasi yang strategik, sentiasa mengalu-alukan perkongsian kepakaran dan jaringan antarabangsa.
Pelbagai kerjasama yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di peringkat antarabangsa bukan sahaja akan memberi manfaat kepada universiti, bahkan turut menyumbang kepada pembangunan negeri Perlis dalam bidang teknologi, sosial, serta ekonomi berasaskan ilmu.
Semua mahasiswa UniMAP dititipkan pesanan supaya sentiasalah memanfaatkan segala peluang kerjasama untuk memperkukuh jati diri, memperluas cakrawala ilmu, dan membina sahsiah yang berteraskan nilai luhur.
SUMBANGAN AGIHAN ZAKAT
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istisdat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia yang diterima oleh Pegawai Unit Pengumpul Zakat (UPZ) Badan Zakat Nasional (BAZNAS), Bpk. Suginarto.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shshreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Baginda berdua berada di Jakarta sempena International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan menunaikan solat maghrib dan isyak secara berjamaah di masjid berkenaan.
MENJADI JAMBATAN PERSAUDARAAN
Pada konteks kunjungan kerja pada kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra menyarankan warga UniMAP secara keseluruhannya agar jadilah generasi muda yang mampu menjadi jambatan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia, dan yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat sejagat.
Justeru, Tuanku Raja Muda percaya bahawa kunjungan ini membuka ruang baharu bagi memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan, serta pembangunan modal insan antara UniMAP dan universiti-universiti lain yang dikunjungi.
Di antara bidang yang berpotensi diterokai ialah pertukaran pelajar dan pensyarah, kolaborasi dalam penyelidikan teknologi dan inovasi, pengurusan bandar lestari, pembangunan sosial, serta advokasi hak masyarakat yang menjadi salah satu kekuatan.
Untuk rekod, Masjid Istiqlal merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara. Ia boleh menampung lebih daripada 200,000 jemaah pada satu-satu masa. Siap pada 1961, Masjid Istiqlal menjadi monumen penting dan simbol kemerdekaan bagi masyarakat Indonesia. Kerana itulah ia dinamakan ”Istiqlal” yakni ‘merdeka’. – JM
