FCoEE anjur “International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment”di Medan

Oleh: Sholina Osman
20 SEPT. 2025

Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) bakal
menganjurkan International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) mulai 25 hingga 27 September 2025 di Medan, Indonesia.

Pengerusinya Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, tujuan persidangan ini diadakan bagi memperkasakan golongan asnaf supaya mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dengan menambah baik kehidupan mereka.

“Menerusi persidangan yang bertemakan “Empowering Asnaf Through Multidisciplinary Approaches” ini diharap akan dapat mengumpulkan maklumat berkaitan asnaf,” kata beliau.

Kamarudin berkata persidangan ini akan disertai oleh para penyelidik serta akademia dari Bangladesh, Thailand, Indonesia dan juga Malaysia.

BAKAL MEMBERIKAN UCAPTAMA

“Antara yang bakal memberikan ucaputama pada persidangan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor, Presiden Universiti Fatani, Thailand Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya serta Pengasas dan Pengerusi Daffodil Family, Daffodil International University, Bangladesh Dr Md Sabur Khan,” kata beliau.

Beliau berkata ICOHOPE juga akan memberikan tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, teknologi, kesihatan sains serta pembangunan asnaf.

“Ia juga akan menjadi medan perkongsian ilmu dan strategi baharu dalam memperkasakan komuniti berpendapatan rendah,” kata beliau pada media sempena program International Leadership Mobility 2025 UniMAP di Jakarta, Indonesia.

Kamarudin berkata pihaknya berharap agar dengan data yang terkumpul nanti dapat digunakan bagi menubuhkan sebuah pusat kajian asnaf di Malaysia.

36 GERAN PENYELIDIKAN

Beliau memberitahu sebanyak 36 geran penyelidikan telah dikeluarkan oleh FCoEE dengan nilai RM7,000 setiap satu pada tahun ini berbanding hanya 15 geran sahaja pada tahun 2024.

Jelas beliau setiap hasil penyelidikan itu mestilah dibentangkan pada peringkat nasional dan juga antarabangsa.

“Sempena ICOHOPE, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, akan menerima anugerah daripada beberapa universiti di Indonesia bagi mengiktiraf sumbangan baginda dalam pembangunan pendidikan termasuk mengasaskan FCoEE,” tambah beliau.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2022, FCoEE telah menunjukkan komitmen tinggi bagi memperkasakan bidang pendidikan negara, khususnya di Perlis.

FCoEE, katanya membantu sistem pendidikan dengan memberikan nilai tambah selain menyokong komuniti pendidikan mampan, mengintegrasikan pendidikan pintar dan tradisional serta menekankan program pendidikan praktikal untuk melahirkan masyarakat berdaya saing dan kebolehpasaran yang tinggi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *