







Oleh: Sholina Osman
21 SEPT. 2025
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis sedang meneliti untuk menganjurkan lebih banyak lagi Pasar Tani di beberapa buah masjid di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa depan.
Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata sekalipun pihaknya ada menerima permohonan dari beberapa masjid tetapi belum membuat sebarang keputusan.
“FAMA mempunyai pegawai yang akan membuat kajian terlebih dahulu dari sudut nilai jualan, jumlah usahawan serta kebanjiran pengunjung,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, Pasar Tani di Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu yang telah dianjurkan beberapa kali sebelum ini telah mendapat sambutan yang baik.
“Antaranya faktor lokasi selain kedudukannya berdekatan dengan kariah lain,” katanya.
Terdahulu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Maizura Shamsuddin telah merasmikan majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun FAMA Ke-60 di Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu hari ini.
Hadir sama Pengarah Tabung Haji Perlis Burhan Abd Rahman.
Mohd Anzara berkata penganjuran program kali ini merupakan sinergi kerjasama antara FAMA, JAIPs dan juga Lembaga Tabung Haji Negeri Perlis.
“FAMA sentiasa komited dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat melalui Jualan Agro Madani yang dijalankan di Outlet Pemasaran FAMA Negeri Perlis menerusi 161 Kali penganjuran menghasilkan Nilai Jualan sebanyak RM 1.98 Juta melibatkan 250 orang usahawan dengan nilai penjimatan sehingga RM650,000,” tambah beliau.
Jelas beliau antara aktiviti menarik ialah Jualan Agro Madani seperti Kombo Madani, Ayam Segar, Daging, Hasil Laut, Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan dengan penawaran harga yang menarik.
Selain itu, kata beliau pembukaan Kaunter Khidmat oleh Tabung Haji, Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pertandingan Makan Buah-Buahan, Permainan Dam Ular, dan pemeriksaan kesihatan asas secara percuma dapat dinikmati oleh pengunjung yang hadir. – JM
