




Oleh: Sholina Osman
22 SEPT. 2025
Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat.
Beliau berkata setakat 19 September 2025, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada pihak Meta bagi platform Facebook sahaja.
Beliau berkata jumlah ini mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi.
JUDI DALAM TALIAN
Tambah beliau daripada jumlah tersebut, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.
Manakala bagi aktiviti scam pula kata Fahmi daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat, 36,918 diturunkan.
“Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekaligus menimbulkan kebimbangan serius,” kata Fahmi dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu Fahmi telah mengadakan pertemuan dengan pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Mesyuarat ini turut disertai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, wakil Pejabat
Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
ISU-ISU KRITIKAL
Pertemuan memberi fokus kepada isu-isu kritikal membabitkan platform Meta, khususnya Facebook, termasuklah aktiviti judi dalam talian, penipuan (scam), penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (Agama, Kaum, Institusi Diraja) serta penjualan produk terlarang (cecair e-rokok mengandungi dadah).
Bagaimanapun, kata Fahmi Meta memberi akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.
“Meta dan semua platform media sosial lain telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan (seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID, antara lain) untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun,” kata beliau lagi.
MASIH GAGAL MENYEKAT
Jelas Fahmi ini kerana sistem sedia ada didapati masih gagal menyekat pengguna bawah umur, serta gagal melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai.
“Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital,” tegas beliau.
Beliau berkata Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan.
“Kementerian Komunikasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan
akan memperkukuh langkah pemantauan, serta mempertimbangkan tindakan
lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta,” ujar beliau lagi. – JM
