Program Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula 30 September ini – PMX

Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 SEPT. 2025

Perdana Menteri umumkan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk rakyat bermula pada 30 September ini.

Bagaimanapun kata beliau manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai 28 September.

Menerusi inisiatif ini, setiap rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95.

Beliau berkata seiiring dengan pelaksanaan tersebut, harga RON95 turut diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter.

“Bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter bagi RON95,” kata beliau dalam hantaran di FB.

PADA PERHIMPUNAN BULANAN

Terdahulu pegumuman itu dibuat semasa beliau hadir pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata semua warganegara Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan, dengan lesen memandu yang sah dan aktif, akan secara automatik menikmati manfaat BUDI95.

“Usaha ini bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil kepada rakyat yang layak, di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan,” kata beliau.

Bagi menjayakan pelaksanaan ini, kata beliau penggunaan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadi asas pengesahan, agar hanya warganegara yang memiliki lesen memandu sah menerima manfaat.

MENYEMAK LEBIH AWAL

“Saya juga ingin mengingatkan rakyat untuk menyemak lebih awal cip MyKad dan lesen memandu masing-masing, supaya tidak timbul masalah teknikal ketika mengisi petrol kelak,” tambah beliau.

Kata Perdana Menteri Kementerian Kewangan akan memberi penjelasan dan penerangan terperinci dari semasa ke semasa, agar rakyat benar-benar jelas mengenai pelaksanaan ini.

“Yang penting, subsidi ini akan diagih secara bersasar, telus dan tanpa ketirisan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia,” tegas beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *