
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 SEPT. 2025
Kerajaan bersetuju melaksanakan
Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskan hasil persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7.
Beliau berkata pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik Kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan.
USAHA MENINGKATKAN KECEKAPAN
“Perhatian serius diberikan dalam usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terpelihara,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Sebelum itu beliau mempengerusikan Mesyuarat JKKTN Siri 7 di Putrajaya.
Anwar berkata Kerajaan turut memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara yang bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.
“Atas keprihatinan dan pendirian Kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat bersetuju supaya isu-isumelibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat,” kata beliau.
Jelas Anwar reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui hari ini mencerminkan iltizam Kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara serta mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam. – JM
