




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 SEPT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui para penggerak KEADILAN Sabah dalam Himpunan Temu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi.
Dalam ucapan, beliau menegaskan bahawa seorang pemimpin mesti sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
Tambah beliau jangan ada pemimpin yang tamak membolot kekayaan sehingga rakyat terbiar hidup melarat.
“Saya juga menyeru agar kita tidak lagi terperangkap dalam permainan sentimen perkauman atau perbezaan wilayah,” kata beliau dalam hantaran di FB.
SEBUAH KEKUARGA BESAR
Anwar berkata dari Perlis hingga ke Sabah, kita adalah sebuah keluarga besar. Kita wajib hidup dalam suasana aman, saling menjaga dan menghormati antara semua kaum serta masyarakat.
“Inanam adalah kubu KEADILAN yang teguh di bawah kepimpinan ADUN sedia ada, Peto Galim,” kata beliau.
Beliau berkata gerak kerja di sini mesti terus diperkukuh supaya rakyat sentiasa terbela. Jangan sekali-kali kita lalai daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Sebagai Perdana Menteri, saya memberi jaminan bahawa kuasa yang dipegang akan digunakan untuk mengurus negara dengan penuh integriti, memperkukuh hubungan dengan setiap negeri, dan memastikan rakyat di seluruh pelosok tanah air benar-benar terbela,” tambah beliau. – JM
