Pasar tani legasi mengangkat maruah petani, nelayan dan penternak – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 SEPT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa terharu apabila menghadiri Majlis Perasmian Pasar Tani Putrajaya dan Sambutan Ulangtahun Penubuhan Pasar Tani Yang Ke-40 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Jelas beliau Ini kerana inisiatif Pasar Tani merupakan satu gagasan ampuh yang diperkenalkan saya sewaktu menjawat jawatan Menteri Pertanian pada tahun 1985 sebagai wahana dan medan kepada para petani dan pengeluar kecil untuk menjual hasil-hasil mereka, dan dalam masa yang sama menolak peranan orang tengah atau kartel yang menekan harga.

Justeru, kata beliau Pasar Tani pertama telah dibuka di Kompleks Bilik Sejuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Tampoi, Johor Bahru, dan beliau hadir merasmikannya pada 31 Januari 1985.

BUAT JULUNG KALINYA

“Ia menjadi detik bersejarah tatkala buat julung kalinya para pengeluar dapat bersemuka terus dengan pengguna dan pembeli, lantas merapatkan jurang antara petani dengan masyarakat yang menikmatinya,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Pada awal penubuhannya dahulu, kata Perdana Menteri, pasar tani hanya berjumlah sekitar 12 buah sahaja, dengan penyertaan seramai 317 orang peserta.

Beliau berkata nilai jualan pada ketika itu sekitar RM1.4 juta setahun. Nilainya agak kecil pada waktu itu, tetapi sangat bermakna.

“Hari ini, setelah berpuluh tahun berlalu, saya melihat sendiri bagaimana gagasan ini berkembang dan terus memberi manfaat luas kepada rakyat terbanyak,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau Inisiatif kecil yang dimulakan pada masa lalu kini terpasak sebagai legasi yang terus memartabatkan petani dan pengeluar tempatan, mengurangkan jurang harga, dan yang terpenting ia mampu mengangkat maruah petani, nelayan dan penternak kita. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *