

Wartawan JM
Foto: Reuters dan PMO
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla.
Sehubungan itu beliau menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera!
“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Anwar berkata Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.
MENYEKAT MISI KEMANUSIAAN
Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, kata beliau Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.
“Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia,” kata beliau.
Jelas Perdana Menteri ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
LANGKAH YANG SAH
“Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat,” kata beliau.
Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.
“Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” tegas Anwar. – JM
