



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 OKT. 2025
Skop Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) akan diperluas dengan projek Kluster Peralatan Teknologi Termaju bernilai tinggi yang memacu kerumitan ekonomi melangkaui semikonduktor.
Sehubungan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mensasarkan lahirnya 10 syarikat gergasi bernilai lebih RM1 bilion serta 100 syarikat juara serantau bernilai sekitar AS$1 bilion.
“Matlamat ini digerakkan seiring penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dan peluang baharu untuk PKS tempatan agar manfaatnya dirasai seluruh rakyat,” kata beliau dalam hantaran di FB.
HALA TUJU STRATEGI
Terdahulu beliau hadir pada Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) keempat tahun ini telah membicarakan hala tuju Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Beliau berkata mesyuarat ini juga turut meneliti perkembangan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di utara Perak, projek strategik yang bakal memacu industri hijau negara dan pembangunan seimbang di wilayah utara.
Perhatian khusus turut diberikan kepada pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan lebuh raya utama bagi menjamin akses, keselamatan serta kelangsungan komuniti setempat yang akan menjadi sebahagian daripada ekosistem pertumbuhan ini.
Kerajaan akan terus menyesuaikan dasar dan inisiatif seperti NSS dengan keperluan industri, agar Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama dunia, bukan sahaja kerana daya saingnya tetapi kerana ekosistemnya yang canggih, hijau dan mampan. – JM
