Raja Muda Perlis syor universiti Islam moden pertimbang beri penekanan kepada konsep pendidikan terbuka

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
6 OKT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar universiti-universiti Islam moden mempertimbangkan untuk memberi penekanan kepada konsep pendidikan terbuka atau pendidikan untuk semua kerana ia selari dengan matlamat asal penubuhan universiti sebagai medan pembangunan ilmu yang bersifat inklusif, terbuka, dan berakar kepada kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

Baginda bertitah, konsep pendidikan terbuka tidak hanya merujuk kepada akses pendidikan yang bebas atau tanpa batas kewangan, tetapi juga kepada pendekatan yang mengiktiraf kepelbagaian latar belakang pelajar, komuniti dan keperluan semasa masyarakat.

Melalui falsafah ini, universiti bukan sekadar institusi akademik, tetapi berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosial dan moral masyarakat.

ILMU TANPA HALANGAN

“Pendidikan terbuka bermaksud membuka ruang kepada masyarakat untuk menimba ilmu tanpa halangan sama ada melalui kuliah umum, kursus pendek, program komuniti atau inisiatif pembelajaran digital.

Universiti perlu menjadi pusat ilmu yang hidup dalam masyarakat, bukan menara gading yang terpisah daripada denyut nadi rakyat,” titah baginda.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, pendidikan tinggi Islam perlu beralih daripada pendekatan konvensional kepada pendekatan berimpak, dengan menekankan kemahiran insaniah, kepemimpinan berakhlak, serta penyelesaian masalah masyarakat melalui inovasi dan penyelidikan yang bermanfaat.

MAMPU MENYELESAIKAN PERMASALAHAN

“Selain menawar pengajian yang bersifat semasa dan mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat, pelaksanaan program berasaskan komuniti perlu terus diperkasa.

Hasrat universiti adalah untuk membangunkan ilmu dalam kalangan masyarakat dan memastikan manfaatnya dirasai semua lapisan,” titah Baginda lagi.

Titah berkenaan disampaikan oleh Tuanku Raja Muda melalui kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat singgah menyampaikan sumbangan fi sabilillah daripada MAIPs kepada Masjid Ulul Albab Universitas Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU) di Medan, Indonesia baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

MEMPERKASA AKTIVITI DAKWAH

Timbalan Rektor Pentadbiran Am, Perancangan dan Kewangan UINSU, Dr. Abrar M. Dawud Faza, menerima sumbangan MAIPs tersebut bagi tujuan memperkasa aktiviti dakwah, pendidikan dan pembangunan komuniti di universiti berkenaan.

Turut mengiringi Baginda yang berangkat ke Medan bersempena International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) yang dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) di bawah naungan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Konsul, Muhammad Amir Azam Mohd Hafiz dari Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.

Dalam kunjungan berkenaan, Tuanku Raja Muda turut menzahirkan harapan agar universiti Islam di rantau ini, termasuk di Malaysia dan Indonesia, dapat menjadi perintis kepada model pendidikan terbuka yang berteraskan nilai Islam, iaitu rahmatan lil ‘alamin, membawa manfaat kepada seluruh manusia.

MELALUI PELBAGAI PLATFORM

Baginda bertitah bahawa pendekatan sedemikian boleh digerakkan melalui pelbagai platform seperti kuliah komuniti, kursus dalam talian terbuka (Massive Open Online Courses – MOOC), program latihan industri sosial, serta penggunaan kemudahan universiti seperti masjid, perpustakaan dan pusat sukan sebagai pusat interaksi ilmu bersama komuniti.

“Masjid di universiti bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga pusat ilmu, perbincangan dan pembangunan sahsiah. Apabila universiti membuka ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama belajar, berdialog dan beraktiviti, maka roh pendidikan Islam yang sebenar akan hidup semula dalam budaya ummah,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menambah bahawa pendidikan terbuka bukan sahaja memperluas akses kepada ilmu, tetapi turut memperkukuh peranan universiti dalam mendukung agenda pembangunan lestari (SDG) melalui aspek pembasmian kemiskinan ilmu, pembangunan modal insan, dan peningkatan kesejahteraan sosial.

Seiring dengan gagasan tersebut, MAIPs turut cuba bergerak ke arah pelaksanaan pendidikan terbuka melalui dua inisiatif utamanya, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

LATIHAN KEPADA SEMUA

Kedua-dua institusi ini menjadi landasan kepada usaha membina Umat Perlis Berhikmah, dengan membuka peluang pembelajaran dan latihan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan asnaf, pelajar luar bandar, dan profesional muda.

UniSIRAJ dirancang sebagai universiti Islam berteraskan integrasi ilmu, nilai dan kemanusiaan global, manakala ATAM berfungsi sebagai pusat latihan keusahawanan dan pembangunan insan asnaf secara holistik.

Melalui kedua-dua institusi ini, MAIPs menzahirkan komitmen untuk menterjemahkan konsep pendidikan terbuka dalam bentuk yang praktikal, berimpak, dan inklusif. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *