479 sekolah rendah, menengah di Negeri Sembilan telah laksana KIS – MCMC

Oleh: Sholina Osman
9 OKT. 2025

Sebanyak 479 buah sekolah rendah dan menengah di Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Kempen Internet Selamat (KIS).

Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan seramai 300 orang pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 melibatkan 31 sekolah rendah sekitar Seremban telah menyertai KIS peringkat negeri ini dan melengkapkan penyertaan pelajar dari seluruh sekolah di Negeri Sembilan.

Program ini merupakan kolaborasi bersama Kerajaan dan Agensi Negeri serta rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu Jabatan
Pendidikan Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

Terdahulu Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini merasmikan Program Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Kempen KIS yang dilaksanakan ini merangkumi sesi taklimat dan aktiviti interaktif menggunakan modul khas yang direka khusus untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap penggunaan Internet secara selamat dan beretika.

Ia turut diserikan dengan melibatkan penyertaan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC serta NADI melalui reruai pameran yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi aplikasi Internet dan risiko ancaman dalam talian.

HAD UMUR MINIMUM

Antara maklumat penting yang disampaikan termasuklah had umur minimum 13 tahun ke atas bagi pemilikan akaun media sosial, selaras dengan garis panduan keselamatan digital antarabangsa.

Sambutan yang diterima daripada para pelajar dan guru amat memberangsangkan.

Para peserta menunjukkan tahap penglibatan yang tinggi dan berjaya memahami asas literasi digital, mengenal pasti risiko seperti buli siber dan pengantunan (grooming), serta mempelajari kaedah penggunaan Internet secara selamat dan
bertanggungjawab melalui aktiviti permainan interaktif yang disediakan.

DITERUSKAN SECARA BERPERINGKAT

Kempen ini akan diteruskan secara berperingkat di sekolah-sekolah seluruh negara sebagai usaha memperkasakan pelajar dan pendidik dalam menghadapi cabaran
dunia digital.

Kementerian komited untuk memupuk kesedaran awal serta
membudayakan penggunaan Internet yang positif, selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda demi kesejahteraan digital negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *