

Wartawan JM
9 OKT. 2025
Malaysia menyambut baik persetujuan yang telah dicapai antara Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) dan Israel bagi fasa pertama “Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza” yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 8 Oktober 2025.
Malaysia merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas kepimpinan dan usaha beliau ke arah menamatkan perang terhadap Gaza.
Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan amat menghargai peranan penting Mesir, Qatar dan Türkiye serta negara-negara lain yang telah memudah cara pelaksanaan pelan komprehensif tersebut.
KEMUSNAHAN DAN KEBULURAN
Perkembangan ini merupakan langkah penting ke arah menamatkan pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan dan kebuluran di Gaza, pertukaran tawanan dan tahanan, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, serta pembinaan semula dan penzahiran hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat Gaza.
“Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk melaksanakan persetujuan ini dengan segera da
sepenuhnya,” kata kenyataan itu lagi.
Malah Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa dalam usaha membawa keamanan ke Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – JM
