Golongan pelajar TVET adalah jurubina negara yang memiliki kemahiran praktikal – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
9 OKT. 2025

Golongan pelajar yang memilih laluan kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah jurubina negara yang memiliki kemahiran praktikal, kreativiti dan kekuatan jiwa.

Ketahuilah bahawa dalam dunia pekerjaan hari ini, permintaan terhadap kemahiran teknologi khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan data semakin meningkat.

Industri tidak lagi hanya mencari sijil dan pointer yang tinggi, tetapi juga insan yang mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi, dan mencipta nilai’.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di sekitar Kuala Perlis.

MENCARI JALAN INKLUSIF

Tuanku Raja Muda turut menghargai pendekatan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah MAIPs berikhtiar sekadar kemampuan mereka mencari jalan inklusif dan strategik dalam mengundang anak-anak Perlis yang sedang menyambung pelajaran di politeknik dan institusi TVET di serata Semenanjung merangkumi zon Utara, Tengah dan Timur Malaysia menerima manfaat daripada ilmu AI dan digitalisasi baru-baru ini.

Kayuhan amal ini merupakan inisiatif berterusan MAIPs yang berkonsepkan gabungan aktiviti berbasikal dan kebajikan masyarakat.

Program ini diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs dengan matlamat utama untuk mendekati masyarakat, khususnya golongan asnaf serta mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian.

PENYAMPAIAN SUMBANGAN MAIPs

Sempena kayuhan tersebut, Baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu Husni Husin, 58, Meriam Taib, 65, dan Hamdan Ahmad, 57, kesemuanya dari Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis.

Setiap penerima menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi meringankan beban mereka.

Dalam kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah melawat Empayar Chendana Gazebo, sebuah syarikat berpusat di Kuala Perlis yang semakin dikenali sebagai pengeluar gazebo dan chalet kayu tempatan.

BAHAN KAYU BERKUALITI

Syarikat ini menonjolkan gabungan reka bentuk tradisional dan moden, menggunakan bahan kayu berkualiti termasuk kayu terpakai bagi menghasilkan binaan yang tahan lama serta mesra alam.

Diterajui oleh tukang berpengalaman, Empayar Chendana Gazebo kini menerima tempahan dari seluruh Semenanjung Malaysia dengan menawarkan reka bentuk fleksibel mengikut cita rasa pelanggan.

Antara produk popularnya termasuk chalet bersaiz 12×8 kaki dan 20×10 kaki yang sesuai untuk kegunaan kediaman mahupun sektor pelancongan.

Selain itu, syarikat ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi setempat melalui penggunaan tenaga kerja tempatan serta memelihara warisan seni pertukangan Melayu yang semakin mendapat perhatian di pasaran. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *