




PETALING JAYA, 8 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat mengukuhkan komitmen terhadap integriti dan tadbir urus beretika menerusi penganjuran Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama PETRA Energy Berhad.
Majlis dimulakan dengan forum bertajuk “Perolehan Bersih, Industri Teguh” yang membincangkan industri minyak dan gas sebagai pemacu ekonomi negara. Forum ini menampilkan dua panel iaitu Pengarah SPRM WPKL, TPj Zakkuan bin Talib, dan Ketua Cawangan Swasta SPRM, PKPj Westmoreland Ajom, bersama moderator Puan Syahrezad Amir Sharifuddin dari PETRA Energy.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRA Energy, Dato’ Anthony Bujang, menyatakan bahawa program ini merupakan kesinambungan usaha syarikat dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa, selaras dengan prinsip “Jangan Tipu Timbang.” Sejak 2017, PETRA Energy telah melaksanakan inisiatif seperti program kesedaran integriti, latihan antirasuah, Dasar Antirasuah, dan pensijilan ISO 37001:2021.
Antara inisiatif unik yang dilaksanakan adalah “Kedai Jujur Petra Energy”, kerjasama dengan SPRM Sabah, di mana pekerja diberi kepercayaan untuk membeli dan membuat bayaran tanpa pengawasan, sebagai simbol nilai kejujuran di tempat kerja. Konsep ini turut diperluas ke sekolah-sekolah untuk mendidik generasi muda mengenai integriti.
Majlis diakhiri dengan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi PETRA Resources Sdn Bhd, Abdul Malik Nik Zaid, bersama 190 pegawai dan pekerja PETRA Energy, disaksikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPj Samsul bin Salip.
