


Putrajaya, 8 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan lima perkara utama yang perlu diberikan perhatian setiap negara ahli dalam Mesyuarat Pertama Asset Recovery Inter-Agency Network for The Middle East and North Africa (MENA-ARIN) di Jeddah, Arab Saudi, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, setiap ahli memainkan peranan serta tanggungjawab bagi memastikan jaringan kerjasama yang diwujudkan mencapai objektif penubuhannya.
MENA-ARIN merupakan forum pertama anjuran Oversight and Anti-Corruption Authority (NAZAHA) Kingdom of Saudi Arabia yang dianggotai sebanyak lebih 30 buah negara di Timur Tengah dan Utara Afrika.
Beliau dalam ucaptamanya berkata, SPRM diiktiraf di peringkat antarabangsa atas pengalaman dan kepakaran malah Malaysia berperanan sebagai pakar rujuk dalam penyediaan terma rujukan khusus bagi MENA-ARIN berdasarkan pengalaman penyiasatan jenayah rasuah merentasi sempadan.
“Ini merupakan mesyuarat dan forum pertama dianjurkan oleh NAZAHA bagi merangka dasar serta strategi antirasuah yang mengkhusus kepada proses pengesahan, penyitaan dan perlucuthakan aset-aset hasil jenayah rasuah di negara-negara terlibat,” katanya.
Menurutnya, lima perkara itu ialah menentukan perbezaan undang-undang antara setiap negara dapat dimurnikan dalam satu perjanjian persefahaman yang akan dijadikan garis panduan bagi rujukan setiap negara serta meningkatkan kerjasama melalui perkongsian dan pertukaran maklumat risikan antara agensi antirasuah bagi pengesanan pesalah dan harta atau aset yang dipindahkan dari satu negara ke negara tertentu.
“Meningkatkan latihan kepakaran di kalangan anggota penguat kuasa pencegahan rasuah khususnya dalam aspek undang-undang antara negara dalam proses siasatan dan pendakwaan kes-kes rasuah bersifat merentasi sempadan serta mewujudkan ‘point of contact’ untuk memperkemaskan proses pertukaran maklumat risikan dan siasatan.
“Yang terakhir ialah mewujudkan satu mekanisme bagi penyaluran, pemantauan dan saluran membincangkan permasalahan serta jalan penyelesaian di kalangan ahli,” katanya.
Mesyuarat Kali Pertama ini julung-julung kalinya diadakan sebagai menyahut Chapter 4 United Nations Against Corruption (UNCAC) iaitu jalinan kerjasama antara negara dalam memerangi jenayah rasuah merentasi sempadan.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Dato’ Zainul Darus.
