







Kuala Lumpur | 8 Oktober 2025 (Rabu)
YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Majlis Peguam Malaysia bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang buruh serta hubungan perusahaan di negara ini.
Sesi libat urus ini memperkukuh kerjasama strategik antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Majlis Peguam dalam usaha menambah baik sistem perundangan buruh yang adil dan berkesan. Antara perkara yang dibincangkan termasuk penguatkuasaan Labour Court Orders, kelewatan penyelesaian kes di Mahkamah Perusahaan, keperluan jurubahasa, proses pemindahan pekerja asing, serta cadangan penggunaan tandatangan digital bagi mengurangkan kerenah pentadbiran.
YB Menteri menegaskan komitmen KESUMA untuk memperkukuh sistem keadilan industri berteraskan nilai Malaysia MADANI, khususnya teras Keadilan Sosial dan Kesejahteraan Insan. Reformasi ini penting bagi memastikan hak pekerja dilindungi, majikan dibimbing, dan ekosistem pekerjaan kekal harmoni.
Turut hadir ialah pegawai kanan KESUMA, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), serta wakil Majlis Peguam melalui Industrial and Employment Law Committee (IELC) dan Migrants and Refugees Committee.
Kerjasama ini mencerminkan semangat madani dalam memperkukuh tadbir urus buruh yang inklusif, berintegriti dan berpaksikan kemanusiaan – ke arah sistem keadilan perburuhan yang lebih progresif dan diyakini rakyat.
