Kerajaan peruntuk hampir RM2.4 bilion untuk 720,000 peneroka, pekebun kecil serta keluarga

Oleh: Sholina Osman
11 OKT. 2025

Kerajaan akan terus melindungi lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil serta keluarga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dengan
peruntukan hampir RM2.4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana agrokomoditi menyumbang hampir RM90 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan lebih 12 peratus eksport negara tahun lalu.

Industri sawit umpamanya mengungguli eksport; menyumbang seperempat pengeluaran dunia.

“Kejayaan ini harus dilipatgandakan dengan meningkatkan automasi dan meneroka pasaran baharu,” kata Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

MENANGKIS TOHMAHAN BARAT

Jelas Anwar berkat penemuan saintifik, kita berjaya menangkis
tohmahan barat terhadap sawit.

Kata beliau ini terbukti menerusi
peningkatan eksport terutamanya ke China dan India.

RM63 juta untuk memperhebat Kempen Menangani Antiminyak
Sawit dan menggalakkan pensijilan mampan termasuk oleh pekebun kecil persendirian.

“Bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan inovasi tempatan, RM20 juta disediakan bagi menyokong syarikat mula niaga mengeluarkan produk
mekanisasi dan automasi dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat utama sawit,” katanya.

MEMBELA NASIB PEKEBUN

Beliau berkata kerajaan membela nasib pekebun kecil yang memerah
keringat, membanting tulang mencari rezeki di ladang dengan peruntukan hampir RM120 juta.

“Antaranya untuk menampung sebahagian kos tanaman semula pekebun kecil sawit bagi menggantikan sawit tua;
menggalakkan pekebun kecil getah menghasilkan getah dan mengusaha semula ladang-ladang getah persendirian yang terbiar; membekalkan pekebun kecil koko dengan 1.1 juta anak benih koko berkualiti termasuk bantuan latihan oleh pemain industri,” kata beliau.

Juga kata beliau sebanyak RM50 juta turut disediakan untu membangunkan dan menyelenggara jalan-jalan ladang di seluruh negara.

Manakala Lembaga Getah Malaysia (LGM) kata beliau akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dengan kos RM600 juta demi kemampanan masa depan industri.

Selain itu tambah beliau LGM juga
akan melaksanakan program insentif pengeluaran lateks serta pengaktifan ladang getah terbiar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *