Raja Muda zahir penghargaan kepada semua penaja jayakan pelbagai program di Perlis

Oleh: Sholina Osman
12 OKT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada semua para penaja dan penyumbang yang telah membantu menjayakan pelbagai program berbentuk pembangunan umat, pendidikan, kesihatan, kebajikan, sukan dan kebudayaan di negeri Perlis.

“Kita harus sedar bahawa sokongan padu daripada sektor korporat dan swasta mampu menjadi pelengkap kepada usaha-usaha dalam membangunkan negeri Perlis,” kata Baginda.

Titah Baginda sumbangan-sumbangan ini jelas mencerminkan hubungan erat serta kerjasama padu antara institusi diraja, Kerajaan Negeri, dan sektor korporat serta swasta.

LEBIH BANYAK SYARIKAT

Pada masa yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru agar lebih banyak syarikat, organisasi, serta individu tampil memberikan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif yang membawa manfaat bersama kepada umat Perlis.

“Apabila semua pihak berganding bahu, Negeri Perlis akan melakar lebih banyak lagi pencapaian yang besar dan mampu berdaya saing di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” titah Baginda.

Tuanku Raja Muda juga menegaskan bahawa usaha penajaan sebegini wajar diteruskan dan diperluaskan skopnya.

MAJLIS APRESIASI PENAJA

Titah tersebut dizahirkan ketika Tuanku Raja Muda semasa berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas di Dalam Akhbar Tempatan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, serta Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 Tuanku Raja Perlis bagi tahun 2025 yang berlangsung di Luminare Hall, Petaling Jaya Trade Centre, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Keberangkatan Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Majlis apresiasi berprestij itu dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dengan Syarikat Mutiara Perlis Sdn. Bhd. selaku penganjur bersama.

MENYEMPURNAKAN PELANCARAN BUKU

Dalam majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan Pelancaran Buku “Legasi Kepimpinan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail” melalui kerjasama strategik di antara Pejabat SUK Perlis bersama Syarikat Media Prima Omnia Sdn. Bhd.,
selain mengurniakan cenderamata penghargaan kepada para penaja tahun ini.

Antara penaja utama yang terlibat ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) melalui Tan Sri Dr Ng Yen Yen, Datuk Yeoh Soo Min, Datuk M. Rajasekaran dan Datuk Charon Wardini Datuk Dr Mokhzani, Mutiara Perlis Sdn. Bhd., Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd., Sinar Jernih Sdn. Bhd., dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Turut menyumbang ialah Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd., Emas Kerajang Berhad (Atlan Holdings), Universiti Sains Malaysia (USM), CMart, KPJ Perlis, Media Prima Berhad, Sadariffa Enterprise, dan Media Mulia Sdn. Bhd.

KEMUNCAK KEPADA SAMBUTAN

Untuk rekod, sesungguhnya kemuncak kepada sambutan Jubli Perak ini adalah Majlis Santapan Diraja yang telah diadakan pada 17 April 2025 yang lalu bertempat di Istana Arau yang dihadiri oleh tetamu Diraja dari dalam negara dan juga Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Keberangkatan tetamu Diraja ini adalah bukti penghormatan serta penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Baginda di pelbagai lapangan.

Selain itu, pelbagai program telah dan sedang dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan tahun bersejarah ini sehingga 16 April 2026.

Sekaligus ia menjadi jambatan yang memperkukuhkan lagi hubungan antara rakyat dan institusi diraja. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *