PMX hadir Majlis Sumbangan Kasih MADANI sempena Deepavali 2025 di SJKC Poi Lam

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Sumbangan Kasih MADANI sempena Deepavali 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Poi Lam, Ipoh bersama warga sekolah dan ibu bapa dalam suasana penuh santai serta harmoni.

“Dalam ucapan saya, saya tekankan bahawa semakin dunia melangkah ke arah kemajuan dan kecanggihan, semakin penting untuk kita mengekalkan nilai perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Beliau berkata kepelbagain masyarakat di Malaysia bukanlah kelemahan yang perlu dipersoalkan, sebaliknya kekuatan yang harus diraikan, kerana inilah asas kepada perpaduan dan keharmonian negara.

AGAMA DAN BUDAYA

“Saya turut mengingatkan bahawa meskipun pelajar di sekolah ini datang daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, mereka tetap belajar dan membesar bersama di bawah satu bumbung, sebagai keluarga besar Malaysia,” tambah Perdana Menteri.

Jelas beliau Malaysia ini negara berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya.

“Anak-anak kita sama ada Melayu, Cina, India atau Orang Asli, mampu bergaul sebagai satu pasukan anak-anak Malaysia yang bersatu hati,” kata beliau.

“Sayugia, kita semua harus terus memupuk semangat saling menghormati serta memuliakan kepelbagaian budaya yang menjadi nadi kekuatan bangsa dan negara,” tambah beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *