




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 OKT. 2025
Kerajaan MADANI tidak akan menambah beban rakyat dengan cukai baharu, sebaliknya menutup ketirisan dan memastikan setiap hasil negara dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semoga Belanjawan MADANI Keempat menjadi perisai buat rakyat di tengah ketidaktentuan ekonomi global.
“Kita terus mara bersama, demi Malaysia yang lebih adil dan makmur,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar berkesempatan menyampaikan amanat di Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan yang pertama diadakan selepas pembentangan Belanjawan MADANI Keempat.
MEREALISASIKAN BELANJAWAN TERBESAR
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Perbendaharaan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan atas dedikasi mereka merealisasikan belanjawan terbesar dalam sejarah negara demi maslahat rakyat terbanyak,” kata beliau.
Perdana Menteri akui tiada belanjawan yang sempurna.
Sehubungan itu kata beliau maka kritikan membina sentiasa dialu-alukan agar kita dapat terus menambah baik dasar dan pelaksanaan.
“Namun, ketika ada yang memperlekehkan usaha Kerajaan menegakkan tatakelola dan mengurangkan hutang, kita kekal berprinsip,” tegas beliau lagi. – JM
