






Oleh: Sholina Osman
17 OKT. 2025
Negeri Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) telah menjayakan Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (JPPIK MKI) Kali Ke-63.
Persidangan berlangsung antara 15 hingga 17 Oktober 2025 di Hotel Seri Malaysia Kangar dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Antara Ahli yang hadir menyertai Persidangan JPPIK MKI Ke-63 kali ini ialah Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Pengerusi JPPIK MKI; Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM; Datuk Yahaya Ahmad, Mufti Negeri Johor merangkap Ahli JPPIK MKI; Prof. Dr. Khodori Ahmad, Ahli JPPIK MKI; Maizura Shamsudin, Pengarah JAIPs; serta pelbagai wakil Negeri sama ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam atau Yayasan Islam Negeri-negeri.
KAYUHAN MAIPs PEDULI
Selain persidangan mesyuarat penyelarasan antara ahli-ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan wakil negeri-negeri, turut dilaksanakan beberapa program seperti Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selain semua delegasi diraikan oleh Baginda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs dalam Majlis Santapan Malam Khas JPPIK MKI.
Lebih menarik, turut dilaksanakan sesi lawatan ke beberapa institusi pendidikan Islam di Wilayah Satun, Thailand seperti Islamic Learning Centre dan Thammasat Wittaya School.
Lawatan turut diadakan ke Majlis Agama Islam Wilayah Satun yang mempunyai hubungan kolaborasi strategik bersama MAIPs.
JPPIK MKI ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja bagi menyelaras dan menyeragamkan dasar serta sistem pendidikan Islam di seluruh negara.
KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM
Antara fungsi utama jawatankuasa ini ialah memperkukuh kurikulum pendidikan Islam, menyeragamkan silibus, meningkatkan kompetensi guru serta memastikan pelaksanaan pendidikan Islam dilaksana secara bersepadu dan berkesan.
Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin, berkata JAIPs telah mendapat mandat dan sumbangan MAIPs dalam menjayakan pelbagai inisiatif pendidikan Islam terkini di Perlis seperti penubuhan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs), Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) dan Pra Tahfiz Model Ulul Albab yang menekankan kurikulum berasaskan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis.
“JAIPs dan MAIPs turut menerbitkan beberapa penerbitan sebagai rujukan seperti Tafsir Faizuddin, Silibus SAPPs dan terkini Buku Siri Asas Kanak-kanak Muslim,” jelas beliau.
Dalam hubungan ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, berkata pihaknya sentiasa memberikan penumpuan kepada aspek pendidikan sebagai usaha mewujudkan masyarakat Perlis Berhikmah seperti yang dicita-citakan.
PELAKSANAAN PEMANTAPAN SABSIAH
“MAIPs sentiasa komited memastikan pemantapan Pendidikan Islam bermula dari inisiatif Tadika Islam, Sekolah Agama Petang Perlis di peringkat sekolah rendah, pelaksanaan pemantapan sahsiah dan pendidikan di peringkat sekolah menengah bahkan turut menubuhkan UniSIRAJ sebagai pusat pengajian tinggi berteraskan keilmuan Islam dan pembangunan ummah selain menubuhkan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs yang merupakan pusat kecemerlangan pendidikan di bawah MAIPs,” ujarnya.
MAIPs melalui Pelan Strategiknya telah menggagaskan Agenda Kecemerlangan Ummah yang memberi tumpuan khusus terhadap bidang pendidikan sebagai salah satu tunjang utama pembangunan insan.
Dalam masa yang sama, Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 turut menfokuskan kepada kluster pendidikan sebagai usaha memastikan peluang pembelajaran yang inklusif dan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan asnaf dan yang memerlukan.
SUMBANGAN AGIHAN
Pengerusi serta ahli-ahli JPPIK MKI meluangkan masa untuk mengiringi Tuanku Raja Muda menghadiri sesi sumbangan agihan zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Rahman, Kampung Belukar, Jalan Padang Melangit, Beseri.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM52,500 kepada 75 penerima yang terdiri daripada asnaf anak kariah Tasoh yang layak menerima bantuan.
Setiap penerima menerima bantuan tunai sebanyak RM700 seorang, selain berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma serta menyertai ceramah motivasi bertajuk “Bangun Jiwa Asnaf” yang dianjurkan oleh MAIPs. – JM
