4 ekor ayam hutan bernilai RM1,500 yang diseludup dari Thailand dirampas

Oleh: Sholina Osman
19 OKT. 2025

Ayam hutan juga tidak terlepas dari menjadi “barang” pilihan untuk diseludup dari negara jiran.

Difahamkan ia menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai ayam pemikat sama ada untuk pertandingan atau dibiakkan.

Berikutan itu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis telah merampas empat ekor ayam hutan bernilai RM1,500 sekaligus menggagalkan cubaan seludup masuk ke negara ini dari Thailand.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata, rampasan oleh anggotanya itu melibatkan di dua kawasan.

SEMASA MELAKUKAN RONDAAN

Beliau berkata pasukan operasi daripada Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis semasa melakukan rondaan di sebuah kawasan di pesisir Pantai Pulau Ketam, Kuala Perlis pada 6 Oktober lalu telah menemukan satu bungkusan guni bercetak tulisan Thai.

“Hasil pemeriksaan di dalam guni berkenaan berisi dua ekor ayam disyaki ayam hutan bernilai RM500.00,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Ismail berkata sekali lagi pada 13 Oktober lalu, pasukan operasi daripada Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis telah membuat rondaan di sekitar sempadan Malaysia – Thailand, Padang Besar, Perlis.

KAWASAN HUJUNG KAMPUNG

Beliau berkata ketika berada di kawasan hujung Kampung Kolam, berhampiran tembok sempadan
Malaysia – Thailand, Padang Besar, pasukan itu telah menjumpai dua kotak kertas berwarna coklat.

“Setiap satu kotak itu mengandungi seekor ayam yang disyaki ayam hutan di mana keduanya dianggarkan bernilai RM1,000.00,” tambah beliau.

Beliau berkata dipercayai kotak berisi ayam hutan yang ditinggalkan di tembok sempadan itu akan diambil oleh individu lain.

Ismail berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM50,000.00 amaun mana yang lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.00, amaun mana yang lebih besar atau penjara bagi tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *