


Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 OKT. 2025
Thailand dan Kemboja hari ini menamatkan pertikaian sempadan apabila kedua negara menandatangi
perjanjian damai yang dikenali “KL Peace Accord” atau Perjanjian Damai KL.
Perjanjian damai antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Ia diadakan di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
TERJEBAK DALAM KONFLIK
Thailand dan Kemboja telah lama terjebak dalam konflik mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas, yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.
Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.
Perjanjian damai itu, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula hari ini hingga Selasa di KLCC. – JM
