






Oleh: Sholina Osman
27 OKT. 2025
Regu daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang C muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Perlis Piala Pusingan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Edisi Ke-5 selepas menewaskan pasukan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor B dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Dewan Serbaguna MSN Perlis, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Hadiah kejohanan berkenaan.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis (PTSPs), Syed Azmir Syed Ahmad.
MENJADI MEDAN PENTING
Kejohanan anjuran Persatuan Sepaktakraw Perlis (PTSPs) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis ini menjadi medan penting bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw, selain mempererat hubungan antara Majlis Sukan Negeri serta kelab-kelab takraw dari seluruh negara.
Edisi kali ini telah berlangsung pada 25 dan 26 Oktober 2025, menghimpunkan sebanyak 21 pasukan dari pelbagai negeri dan institusi termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Perlis, Kedah serta institusi pengajian tinggi seperti UiTM Merbok dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Tempat ketiga dikongsi bersama oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor A.

Di majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah berupa piala pusingan dan medal kepada para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bersama. – JM
