




Wartawan JM
Foto: Shahnaz Fazlie
28 OKT. 2025
Malaysia mengalakkan syarikat-syarikat China terus melabur dalam bidang digital, semikonduktor dan teknologi hijau, seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi hab inovasi utama ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menekankan kepentingan projek seperti Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim hasil kerjasama Proton dan Geely selain peluasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kerjasama pelabuhan antara Malaysia dan China yang bakal memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik dan maritim serantau.
“Malaysia juga komited memperluas eksport bernilai tinggi dalam sektor elektrik & elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, tenaga boleh diperbaharui dan minyak & gas di bawah kerangka Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI),” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan dengan Premier Li Qiang dan delegasi China.
MEMPERKUKUH LAGI PERSAHABATAN
Anwar berkata pertemuan ini memperkukuh lagi persahabatan erat Malaysia–China yang berteraskan kepercayaan dan saling menghormati, menjadi simbol hubungan dua hala yang semakin kukuh dan berpaksikan kestabilan serantau.
“Perbincangan kami tertumpu kepada pengukuhan perdagangan dan pelaburan dua hala,” tambah Anwar.
Jelas beliau pertemuan turut menyentuh Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand.
“Premier Li menzahirkan sokongan China terhadap usaha damai yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 ini — satu kejayaan diplomasi ASEAN dalam menegakkan keamanan melalui kepercayaan dan dialog,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata China juga menyatakan komitmen berterusan untuk membantu merungkai krisis di Myanmar, khususnya dalam memastikan gencatan senjata dikekalkan serta membawa semua pihak kembali ke meja rundingan demi keamanan dan kemakmuran rantau ini. – JM
