






Oleh: Sholina Osman
29 OKT. 2025
Filem Melayu tempatan dengan judul ‘Mojoku Hilang’ yang bakal ditayangkan nanti diharap dapat membantu memperkenalkan lagi negeri Perlis ini dengan lebih mendalam.
Dengan pendekatan ini juga adalah diharapkan filem ini dapat memberi impak yang besar terhadap industri pelancongan, merangsang
minat pelancong, meningkatkan kesedaran tentang keunikan negeri Perlis, dan seterusnya menarik lebih ramai pengunjung.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Siri Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Hoco Café & Eatery, Sadao, Thailand baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
ANAKANDA-ANAKANDA BAGINDA
Berangkat sama adalah anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh pemilik kafe, Pakrit Srisathitwong dan rakannya Nattida Srisuk.
Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa baginda dimaklumkan oleh Pengarah merangkap Produser filem ini iaitu Lim Siu Min bahawa 80 peratus penggambarannya adalah di Perlis, dengan menonjolkan kawasan-kawasan menarik dan indah di negeri ini.
UNTUK MENONJOLKAN IDENTITI
Konsep “Pelancongan” yang diterapkan dalam filem ini difahamkan bertujuan untuk menonjolkan identiti dan keunikan negeri ini dan menggambarkan keindahan, budaya, dan daya tarik kawasan-kawasan menarik serta warisan budaya Perlis dengan lebih mendalam.
Majlis promosi masakan berkenaan dianjurkan oleh pihak restoran dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis dan Mizza’s Kitchen Gial bagi menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026 serta meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dengan menampilkan resipi tradisional, Kurma Daging Perlis.
Hidangan autentik itu menggambarkan keunikan dan kekayaan warisan kulinari negeri Perlis, selain menonjolkan potensinya untuk terus dihargai dalam pelbagai acara perayaan dan majlis kekeluargaan.
Ia sekali gus memperteguh kedudukan hidangan tradisional berkenaan sebagai simbol identiti kulinari negeri di pentas yang lebih meluas. – JM
