





Wartawan JM
Foto: Fath Rizal
29 OKT. 2025
Malaysia antara yang terawal mengiktiraf pengorbanan darah dan keringat rakyat Timor-Leste yang mendambakan kebebasan dan cita serta nurani idealisme yang murni, seawal era Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sendiri pernah menyatakannya di Parlimen bahawa Timor-Leste adalah sebahagian daripada keluarga rantau yang kita cintai ini.
Beliau berkata pendirian Malaysia tersedia jelas; yakni mendukung dan mempercepat proses penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN.
“Saya bicara bahawa Malaysia sendiri dahulunya bukan negara yang kaya, tidak kurang Laos serta Kemboja sewaktu diterima ke dalam ASEAN,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MAJLIS MAKAN MALAM
Terdahulu beliau hadir ke majlis makan malam yang dihoskan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste José Manuel Ramos-Horta.
Beliau menjelaskan Malaysia juga pernah bergelut ganas membina asas dan ketahanan ekonomi negara.
“Adalah adalah tidak wajar untuk mengukur nilai keanggotaan hanya pada aspek kekuatan ekonomi semata,” kata beliau.
Jelas Perdana Menteri apa yang penting adalah tekad dan iltizam, wawasan serta semangat kenegaraan bangsa tersebut.
MEMGUPAYAKAN KERJASAMA TEKNIKAL
“Kita juga telah mengarahkan Wisma Putra agar mengupayakan kerjasama teknikal dan penempatan pegawai di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia untuk membantu melengkapkan keperluan institusi Timor-Leste untuk maksud ini,” kata beliau.
Anwar berkata di dunia hari ini, suara nurani semakin malap dan pudar. Namun, Timor-Leste menyemangati suara itu.
Jelas beliau bahawa ia adalah suara yang lahir dari sejarah yang luka dan membekas, ketabahan dan kesungguhan rakyatnya memperjuang kebebasan dan keadilan.
“Saya pernah membicarakannya bersama mendiang Kofi Annan, dan melihat semangat yang sama pada Presiden Ramos-Horta,” kata Anwar.
Beliau menjelaskan Malaysia mempunyai keyakinan yang tinggi betapa kehadiran Timor-Leste ke dalam ASEAN tidak sekadar melengkapi jumlah anggota, tetapi yang utama adalah memperkaya jiwa, nurani dan nilai rantau bertuah ini. – JM
